Anak-anak Kampung Padas mula mendapat pendidikan di tempat sendiri pada tahun 1985. Menurut cerita pengasas sekolah Encik Roslan Bin Mahalan, (YDP PIBG 2011-2013), bahawa pada peringkat awalnya sekolah ini ditubuhkan, hanya sekitar 80 orang murid sahaja yang mendaftar untuk belajar di sekolah ini. Kanak-kanak ini dikumpulkan di balai raya Kampung Padas untuk menerima pendidikan secara formal. Oleh kerana balai raya tersebut agak terlalu kecil jika dibandingkan dengan bilangan murid yang agak ramai, maka, ibu bapa anak-anak ini telah bergotong-royong dengan mengubahsuai balai raya tersebut menjadi lebih besar dan sedikit selesa.
Encik Roslan Bin Mahalan, Encik Baharuddin Bin
Murni dan Encik Awang Bin Imam Maul bertugas sebagai guru sementara secara sukarela
(tanpa gaji) sementara menunggu guru daripada Jabatan Pendidikan pada masa itu. Pada masa
yang sama juga, Encik Roslan Bin Mahalan berusaha untuk mendaftarkan sekolah SK
Sungai Padas sebagai sekolah bantuan penuh kerajaan.
Pada tahun 1986, SK Sungai Padas berjaya
didaftarkan sebagai cawangan SK Sungai Manila Sandakan dan Jabatan Pendidikan
Negeri Sabah telah menghantar 2 orang guru. Guru Besar yang pertama ialah Cikgu
Bayani Bin Bayad. Beliau bertugas sebagai guru dan juga pentadbir. Di atas faktor
pertambahan bilangan murid, penduduk kampung sekali lagi bergotong-royong membuat meja,
kerusi, papan tulis serta kelengkapan lain demi kepentingan pembelajaran
dan masa hadapan anak-anak mereka. Usaha penduduk kampung akhirnya mendapat
perhatian daripada Jabatan Pendidikan Negeri pada ketika itu. Sekolah ini berjaya
didaftarkan sebagai sekolah bantuan penuh kerajaan dan tidak lagi sebagai
sekolah cawangan Sk Sungai Manila. Dengan peruntukan kewangan yang diperoleh dari kerajaan, pihak sekolah bergegas membeli papan dan tiang. Pembinaan sekolah ini diketuai oleh Encik Hassan dan Encik
Roslan. Seorang penduduk kampung pada ketika itu rela meminjamkan rumahnya secara sukarela
untuk dijadikan bilik darjah sementara.
Pada tahun 1989, sebuah blok bangunan berjaya didirikan hasil
kerjasama penduduk kampung dan kerajaan negeri ketika itu. Pada 8 September 1989, murid-murid dipindahkan ke bangunan baharu. Bangunan tersebut menjadi mercu
tanda permulaan kelas yang lebih teratur. Beberapa orang guru dari Jabatan
Pendidikan Negeri telah dihantar bertugas ke sekolah ini sementara bangunan
sekolah didirikan secara berperingkat.
Pada tahun 1996, Sk Sungai Padas mempunyai sebanyak 10 buah bilik darjah, sebuah perpustakaan, sebuah bangunan prasekolah, sebuah
bilik guru, sebuah bilik khas Guru Besar dan sebuah bilik Penolong Kanan
Kurikulum beserta 2 bilik yang diubahsuai bagi kegunaan Penolong Pegawai Tadbir dan juga stor
sekolah, 2 bangunan tandas murid dan sebidang padang permainan. 2 buah rumah guru telah dibina iaitu satu bangunan yang dibina oleh kerajaan negeri
dan sebuah lagi bangunan tambahan yang didirikan oleh Jabatan Pendidikan Negeri
Sabah yang boleh menampung seramai dua buah keluarga.
Pada ketika ini, sekolah mempunyai
bilangan murid seramai 329 orang manakala murid prasekolah pula adalah seramai 29 orang. Bilangan
tenaga pengajar pula seramai 18 orang termasuk Guru Besar dan seorang Pembantu
Tadbir. Dengan bilangan murid yang semakin bertambah serta taburan murid yang
datang dari pelbagai kampung, Kerajaan Negeri telah mendirikan sebuah asrama
atas inisiatif untuk membantu murid-murid yang tinggal jauh dari kawasan
sekolah melalui usaha sama dengan pihak Yayasan Sabah. Sebuah asrama telah
ditubuhkan pada 2009 dan seramai 40 orang murid telah menjadi penghuni asrama sekolah
ini buat pertama kalinya.
Menjelang tahun 2011, SK Sungai Padas telah berjaya melengkapkan prasarananya setanding dengan sekolah-sekolah lain di dalam daerah Sandakan. Bilangan murid pula meningkat setiap tahun sehingga mencecah melebihi 400 orang. Setakat ini,
terdapat 14 buah bilik darjah termasuk 2 bangunan prasekolah, sebuah makmal
ICT, sebuah surau sekolah, 6 unit kediaman staf, sebuah Kelas Pemulihan Khas,
sebuah bilik Pusat Sumber, sebuah bilik Bimbingan dan Kaunseling serta 35 orang
tenaga pengajar beserta 10 orang Anggota Kumpulan Pelaksana termasuk PPM Asrama
dengan jumlah murid seramai 438 secara keseluruhannya.
0 comments:
Post a Comment